Pages

Wednesday, December 8, 2010

Banyak khasiat rupanya air rebusan asam gelugur....

aku suka article yg aku baca dari arkib utusan malaysia ni:

Khasiat rebusan asam gelugur

ADA wanita mengamalkan minum air asam gelugur semasa berpantang dipercayai untuk mempercepatkan proses mengecutkan rahim. Selain itu amalan tersebut juga dikatakan mampu menurunkan berat badan.

Ternyata asam gelugur atau nama botaninya garcinia cambogia menawarkan banyak khasiat baik dari sudut perubatan mahu pun sebagai penyedap makanan. Berwarna kekuningan dan berbentuk seakan buah labu, tumbuhan yang berasal dari India itu turut dikenali dengan nama asam keping setelah buahnya dikeringkan.

Selain itu asam gelugur dipanggil juga malabar tamarind dan brindle berry kini digunakan secara meluas untuk produk mengurangkan berat badan di Eropah.

Asid utama asid hydroxycitric atau HCA. di dalam asam gelugur pernah menjadi kajian saintis pemakanan. Terbukti ia sangat berkesan membantu mengekang nafsu makan dan menggalakkan penguraian lemak dalam tubuh manusia dan haiwan. Rangsangan kehilangan berat badan menerusi dua cara asas.HCA bertindak menghalang penukaran makanan bergula dan berkanji kepada lemak. Ini bermakna HCA dikatakan dipercayai mampu membantu menyekat penghasilan lemak.

Penemuan terbaru mendapati melalui cara peningkatan tahap kimia tertentu dalam otak seperti serotonin, pengatur kepada pengawalan selera, HCA juga dikatakan mungkin mampu menyekat selera makan.

Penggunaan asam gelugur juga mendapat tempat dalam perubatan India kuno (Ayurveda) bagi mengatasi masalah penghadaman, rawatan cacing, parasit, tumor dan cirit-birit berdarah.

Buah asam gelugur yang sudah masak berwarna kuning selalunya dihiris, dikering dan digunakan dalam masakan. Ia juga direbus dalam gula dan dimakan sebagai jeruk.

Air rebusan kulit buah asam gelugur juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat reumatisme dan masalah dalam perut. Selain itu buah tersebut dikatakan berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi. Perubatan Melayu zaman dahulu menggunakan rebusan air daun dan akar asam gelugur untuk menyembuhkan sakit telinga melalui titisan ke dalam telinga.

Buah asam gelugur juga dikatakan mampu melegakan kesakitan gusi. Caranya adalah dengan mengambil sekeping asam gelugur dan kemudian basuh hingga bersih sehingga menjadi sedikit lembut. Tampal atau selitkan di celah-celah antara gusi dan bahagian pipi selama 10 hingga 15 minit. Kemudian kumur dengan air suam.

Saturday, December 4, 2010

Rahsia sebiji epal

dipetik dari Utusan Malaysia......



SEBIJI epal sehari menjauhkan anda daripada doktor. Begitulah khasiat buah epal jika anda mengamalkannya dalam diet harian kerana ia kaya dengan sumber antioksida dan vitamin C. Manakala kandungan antioksida seperti flavonoid mampu memerangi penyakit kanser.

Kandungan quercitin dalam buah epal mampu mengelakkan kita daripada mendapat penyakit alzheimer.
Begitu banyak khasiat buah epal. Kerana khasiatnya inilah yang membuatkan saya ingin berkongsi satu resipi pencuci mulut yang menggunakan epal iaitu Crumble Epal.

Pencuci mulut ini sebenarnya adalah epal yang dibakar bersama adunan crumble. Selalunya epal jenis Granny's Smith adalah paling sesuai.

Tekstur epal hijau yang sedikit masam dan rangup membuatkan saya menggemari pencuci mulut ini. Namun terpulang kepada anda sekiranya ingin menggunakan epal jenis lain. Tetapi pilihlah buah epal yang segar, keras dan rangup supaya lebih enak dinikmati.

Epal perlu dipotong baji (wedges) atau dadu. Pastikan ia tidak terlalu tebal dan besar supaya mudah masak apabila dibakar.

Crumble membawa maksud rangup dan rapuh. Campuran bahan-bahan asas untuk membuat crumble adalah seperti mentega, tepung, gula, kacang walnut dan oat.

Campuran ini akan digaul sehingga menjadi seperti serbuk roti yang lembap. Ia akan menjadi rangup, rapuh dan keemasan sesudah dibakar bersama epal yang dicincang.

Gunakan rolled oat iaitu emping oat. Ia berlainan daripada oat yang biasa kerana ia diemping dan memberikan kerangupan pada crumble anda nanti.

Rolled oat boleh dibeli di kedai-kedai menjual bahan-bahan pastri. Jika tiada pilihan anda boleh menggunakan oat yang biasa dijual di pasar raya atau menggantikan dengan Nestum.

Terdapat teknik yang perlu diketahui apabila anda menggaul bahan-bahan crumble. Anda boleh menggunakan pemperoses makanan, mesin pengadun kek atau menggunakan tangan.

Sekiranya menggunakan tangan bahan-bahannya perlu digaul dengan cepat kerana dikhuatiri suhu tangan yang panas akan menyebabkan mentega cair dan menjadikan tekstur crumble kurang rangup apabila dibakar.

Berhenti menggaulnya apabila adunan telah sebati dan membentuk serbuk roti. Suhu mentega yang digunakan juga penting.

Mentega perlu didadu kecil supaya ia mudah diadun. Buah epal yang digaul dengan bahan-bahan lain ditabur dahulu dalam bekas pembakar sebelum menabur crumble di atasnya. Pastikan crumble diratakan di atasnya supaya ia masak dengan sekata.

Crumble Epal yang sudah masak boleh dipastikan dengan melihat warnanya bertukar menjadi perang dan rangup di samping buah epal mengeluarkan sedikit jusnya. Sekiranya ingin rasa yang lebih enak makanlah bersama aiskrim vanila.

Friday, December 3, 2010

Penjelasan suami juga boleh nusyuz terhadap isteri.....


Jarang sekali kita mendengar persoalan suami ‘nusyuz’, suami ingkar atau durhaka terhadap isteri mereka. Malahan ada yang terkejut apabila saya mengutarakan isu ini semasa mengendalikan beberapa program celik undang-undang bagi wanita anjuran Jabatan Pembangunan Wanita.

Ada juga yang mengatakan ia tidak pernah dibicarakan dalam mana-mana kitab. Tidak dinafikan dalam Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, tiada sebarang peruntukan bagi menjelaskan kedudukan suami ‘nusyuz’ terhadap isteri mereka.

Namun isu ini adalah isu yang hangat diperbincangkan oleh golongan ulama mahupun mereka yang terlibat dalam bidang undang-undang syarie hingga kekeliruan terjadi. Akibatnya sebahagian besar berpandangan nusyuz hanyalah kesan tindakan yang dilakukan oleh isteri dalam kehidupan berumah tangga.

Hakikatnya Allah SWT melalui Surah An-Nisa’ (4) ayat 128 dengan jelas menzahirkan persoalan ini melalui mafhum firmannya: “Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir . Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tidak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Melalui ayat ini adalah sangat jelas bahawa golongan suami juga boleh menjadi nusyuz melalui tindak-tanduknya dalam menerajui rumah tangga. Justeru, menurut perundangan Islam yang sebenar, nusyuz boleh membabitkan kelakuan pihak suami serta isteri dan bukan hanya kelakuan isteri sahaja. Al-Quran menyebut tentang nusyuz oleh pihak suami (melalui Surah 4:128 yang dinyatakan di atas) dan nusyuz oleh pihak isteri (melalui Surah 4:34).

Almarhum Prof. Hamka dalam kitabnya Tafsir Al-Azhar Juzuk 5 muka surat 1,452 telah mengupas persoalan ‘suami nusyuz’ ini. Antara lain beliau menyatakan: “Nusyuz yang sebaliknya iaitu si suami yang tidak senang atau telah benci atau telah bosan kepada isterinya. Hal ini biasa terjadi pada orang yang beristeri lebih dari satu atau telah jatuh hati kepada perempuan lain.”

Sesetengah ulama berpendapat, nusyuz dari pihak suami terjadi apabila suami bersikap keras terhadap isterinya, tidak mahu menggaulinya dan tidak memberikan hak isterinya mengikut lunas syarak. Adalah jelas, persoalan nusyuz dalam rumah tangga bukan hanya boleh terjadi akibat daripada perlakuan dan tindakan isteri semata-mata.

Suami juga boleh menjadi ‘nusyuz’ melalui tindakan, pengabaian dan perlakuan mereka dalam mentadbir rumah tangga. Lebih menarik, menurut Muhammad Thalib dalam bukunya 30 Perilaku Durhaka Suami Terhadap Isteri, suami boleh dianggap ‘nusyuz’ terhadap isterinya dalam hal-hal antara lain seperti berikut:
*Gagal atau enggan memberikan nafkah (zahir atau batin).
*Gagal menyediakan tempat tinggal yang selamat.
*Tidak membayar mahar.
*Menyebabkan kemudaratan (memukul) tubuh badan isteri.
*Membebankan isteri.
*Memperlakukan isteri dengan kasar.
*Merosakkan martabat isteri.
*Menghalau isteri tanpa alasan dan
*Menuduh isteri berzina tanpa saksi.

Keharmonian rumah tangga perlu dijadikan asas pembinaan sebuah keluarga bahagia.
Janganlah mana-mana pasangan sama ada suami atau isteri melakukan tindakan mahupun perbuatan yang boleh dianggap nusyuz antara satu sama lain.

Justeru, marilah kita menyedari (terutamanya golongan lelaki) bahawa kadang kala ketika menuding jari kepada isteri dalam hal-hal penolakan mereka terhadap arahan dan suruhan suami, sebenarnya suamilah pada peringkat permulaannya yang telah gagal, ingkar atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Ini berkemungkinan besar menjurus kepada suami menjadi nusyuz kepada isteri tersebut. Ingat! suami juga boleh nusyuz terhadap isteri.

Wednesday, December 1, 2010

Jangan tak tau...Bersihkan mulut selepas menyusu

dipetik dari mymetro....

ELAK...usah biarkan anak tidur dengan botol susu di mulut kerana ia juga boleh menyebabkan kerosakan gigi.

ARYANA baru berusia tiga tahun, tetapi hampir keseluruhan gigi hadapannya sudah rosak dan berwarna hitam. Kadangkala apabila makan makanan manis, dia mengadu sakit gigi namun tiada apa yang boleh dilakukan doktor selain meminta Aryana mengurangkan makanan manis dan menunggu sehingga gigi kekalnya tumbuh apabila dia berusia lima tahun.

Masalah dilalui Aryana mungkin dilalui ramai kanak-kanak lain. Sebahagian kanak-kanak pada usia tiga tahun menghadapi masalah kerosakan gigi serta gigi reput yang disebabkan kurangnya penjagaan.

GIGI SIHAT...gigi kanak-kanak yang sihat tersusun cantik tanpa masalah karies gigi


Menurut Pakar Perunding dan Pensyarah Kanan Pergigian Pediatrik, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Alida Mahyuddin, kerosakan gigi susu sering berlaku pada awal usia kanak-kanak disebabkan faktor pemakanan mereka.
 
Namun sekiranya ibu bapa mengawal jumlah pengambilan makanan manis, gigi susu berkenaan akan kekal cantik sehingga diganti gigi kekal.
 
Menurut Dr Alida, gigi susu ialah gigi yang mula tumbuh ketika bayi berusia enam bulan ke atas dan akan diganti dengan gigi kekal bermula pada umur kanak-kanak lima hingga enam tahun.
 
Menjelang umur kanak-kanak tiga tahun, gigi susu akan lengkap tumbuh sepenuhnya, sebanyak 20 batang.
Bagi gigi kekal pula, menjelang umur kanak-kanak 13 tahun, jumlah gigi kekal adalah sebanyak 28 batang. Gigi geraham bongsu hanya akan tumbuh untuk sesetengah orang selepas umur 18 tahun.
 

Gigi susu mempunyai beberapa peranan yang penting. Antaranya membolehkan kanak-kanak mengunyah dengan baik (bagi memastikan kanak-kanak mendapat zat yang secukupnya untuk tumbesaran), terbabit dalam perkembangan pertuturan dan membantu gigi kekal tumbuh dengan lebih teratur. Gigi yang sihat akan menjadikan kanak-kanak lebih berkeyakinan daripada segi mental, fizikal dan sosial.

Justeru, sangat penting bagi ibu bapa memastikan anak-anak mendapat penjagaan gigi sepenuhnya bermula ketika lahir iaitu sebelum gigi tumbuh.

"Setiap kali selepas bayi menyusu, bersihkan dalam mulut bayi menggunakan sapu tangan atau kain bersih yang lembap. Apabila gigi mulai tumbuh, gunakan berus gigi lembut khas untuk bayi," katanya.

Menurut Dr Alida, kanak-kanak perlu didedahkan dengan kaedah memberus gigi yang betul sejak mereka tumbuh gigi yang pertama bagi membiasakan mereka dengan berus gigi.

Ketika mula tumbuh gigi sehingga umur lima tahun, ibu bapa perlu memberus gigi kanak-kanak. Selepas umur ini, kanak-kanak boleh cuba untuk melakukannya sendiri, tetapi hendaklah sentiasa dipantau ibu bapa supaya terjamin kebersihannya.

"Ketika kanak-kanak masih bayi sehingga umurnya dua tahun, lebih mudah jika ibu bapa meriba anak-anak mereka dan gigi diberus dari arah belakang.
 
"Dengan ini, kepala anak-anak mereka dapat diampu atau disokong pada dada ibu bapa ketika gigi diberus. Lebih mudah sekiranya dibuat mengadap cermin.
 
"Untuk kanak-kanak prasekolah, tidak disyorkan teknik memberus gigi yang tertentu kerana tahap kemahiran motor halus mereka adalah rendah.
 
"Memadai dengan memastikan semua gigi diberus dengan baik," katanya yang menasihati ibu bapa supaya memilih berus gigi berkepala kecil serta berbulu lembut manakala pemegang berbatang yang besar lebih memudahkan kanak-kanak mengawal berus gigi.

Menurutnya, terdapat pelbagai faktor menyebabkan kerosakan gigi. Secara amnya, gigi rosak, berlubang dan berkaries disebabkan bakteria tertentu di dalam mulut yang berupaya menghasilkan asid daripada gula dan karbohidrat yang dimakan.

Asid ini akan melarutkan lapisan luar gigi. Selepas jangka masa tertentu dan proses perlarutan ini berlaku berulang kali, kaviti, lubang, dan karies pada gigi akan terbentuk.
 

"Karies gigi adalah adalah satu penyakit kronik. Walaupun berlaku hanya pada gigi, ia boleh mempengaruhi kualiti hidup kanak-kanak.
 
"Mereka yang mengalami kerosakan gigi yang teruk mungkin mengalami kekurangan berat badan, menjejaskan tumpuan belajar, mengganggu persekolahan dan membuatkan kanak-kanak tidak mempunyai keyakinan diri.
 
"Justeru, pencegahan karies dapat dilakukan dengan memberi anak-anak diet seimbang serta mengehadkan pengambilan makanan manis dalam waktu makan utama saja.
 
"Untuk mengurangkan risiko berlakunya karies gigi, kekerapan penghasilan asid oleh bakteria penyebab karies perlu dihadkan.
 
"Tidak salah memakan makanan manis, tetapi hadkan pengambilan makanan itu pada waktu makan saja iaitu sebagai pencuci mulut.
 
"Contohnya selepas makan nasi, boleh makan coklat. Elakkan makan makanan manis di luar waktu makan utama atau menggunakan ia sebagai snek. Selepas makan makanan manis, berus gigi atau sekurang-kurangnya kumur mulut dengan air kosong selepas makan," jelasnya.

Selain itu, berus gigi dua kali sehari dari waktu tumbuhnya gigi menggunakan air. Bermula daripada umur dua tahun, ibu bapa boleh menggunakan ubat gigi kanak-kanak berflorida. Jangan berkumur, memadai dengan meludah keluar saja ubat gigi.

Berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan sekali membantu mengatasi gigi rosak. Lawatan pertama berjumpa doktor gigi seharusnya bermula dari masa tumbuhnya gigi susu yang pertama atau selewat-lewatnya menjelang umur setahun.
 
Ini membolehkan doktor gigi memberi nasihat tabiat penjagaan gigi yang betul serta memantau daripada berlakunya kerosakan gigi. Kanak-kanak yang dibawa berjumpa doktor gigi dari awal akan mempunyai tingkah laku positif terhadap rawatan pergigian.

Menurut Dr Alida, kebanyakan ibu bapa tidak tahu kerosakan gigi kanak-kanak adalah disebabkan menyusu ketika tidur. Ini kerana bakteria penyebab karies gigi berupaya menghasilkan asid daripada gula (laktosa) yang terkandung di dalam susu dan membentuk karies. Lebih-lebih lagi ketika tidur, rembesan air liur akan berkurangan. Air liur mengandungi komponen yang berupaya meneutralkan asid yang dihasilkan bakteria.

"Justeru, jangan biarkan anak-anak tidur dengan botol susu di mulut. Galakkan anak-anak meminum susu menggunakan cawan bermula umur 12 bulan atau 14 bulan," katanya.

Tambahnya, ada ibu bapa beranggapan ada makanan yang boleh menguatkan gigi namun sebenarnya semua makanan boleh dimakan cuma hadkan pengambilannya saja. Ini kerana gigi sudah terbentuk sejak dalam kandungan lagi, justeru, penting bagi ibu mendapatkan kalsium secukupnya ketika mengandung.