Pages

Friday, December 3, 2010

Penjelasan suami juga boleh nusyuz terhadap isteri.....


Jarang sekali kita mendengar persoalan suami ‘nusyuz’, suami ingkar atau durhaka terhadap isteri mereka. Malahan ada yang terkejut apabila saya mengutarakan isu ini semasa mengendalikan beberapa program celik undang-undang bagi wanita anjuran Jabatan Pembangunan Wanita.

Ada juga yang mengatakan ia tidak pernah dibicarakan dalam mana-mana kitab. Tidak dinafikan dalam Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, tiada sebarang peruntukan bagi menjelaskan kedudukan suami ‘nusyuz’ terhadap isteri mereka.

Namun isu ini adalah isu yang hangat diperbincangkan oleh golongan ulama mahupun mereka yang terlibat dalam bidang undang-undang syarie hingga kekeliruan terjadi. Akibatnya sebahagian besar berpandangan nusyuz hanyalah kesan tindakan yang dilakukan oleh isteri dalam kehidupan berumah tangga.

Hakikatnya Allah SWT melalui Surah An-Nisa’ (4) ayat 128 dengan jelas menzahirkan persoalan ini melalui mafhum firmannya: “Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir . Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tidak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Melalui ayat ini adalah sangat jelas bahawa golongan suami juga boleh menjadi nusyuz melalui tindak-tanduknya dalam menerajui rumah tangga. Justeru, menurut perundangan Islam yang sebenar, nusyuz boleh membabitkan kelakuan pihak suami serta isteri dan bukan hanya kelakuan isteri sahaja. Al-Quran menyebut tentang nusyuz oleh pihak suami (melalui Surah 4:128 yang dinyatakan di atas) dan nusyuz oleh pihak isteri (melalui Surah 4:34).

Almarhum Prof. Hamka dalam kitabnya Tafsir Al-Azhar Juzuk 5 muka surat 1,452 telah mengupas persoalan ‘suami nusyuz’ ini. Antara lain beliau menyatakan: “Nusyuz yang sebaliknya iaitu si suami yang tidak senang atau telah benci atau telah bosan kepada isterinya. Hal ini biasa terjadi pada orang yang beristeri lebih dari satu atau telah jatuh hati kepada perempuan lain.”

Sesetengah ulama berpendapat, nusyuz dari pihak suami terjadi apabila suami bersikap keras terhadap isterinya, tidak mahu menggaulinya dan tidak memberikan hak isterinya mengikut lunas syarak. Adalah jelas, persoalan nusyuz dalam rumah tangga bukan hanya boleh terjadi akibat daripada perlakuan dan tindakan isteri semata-mata.

Suami juga boleh menjadi ‘nusyuz’ melalui tindakan, pengabaian dan perlakuan mereka dalam mentadbir rumah tangga. Lebih menarik, menurut Muhammad Thalib dalam bukunya 30 Perilaku Durhaka Suami Terhadap Isteri, suami boleh dianggap ‘nusyuz’ terhadap isterinya dalam hal-hal antara lain seperti berikut:
*Gagal atau enggan memberikan nafkah (zahir atau batin).
*Gagal menyediakan tempat tinggal yang selamat.
*Tidak membayar mahar.
*Menyebabkan kemudaratan (memukul) tubuh badan isteri.
*Membebankan isteri.
*Memperlakukan isteri dengan kasar.
*Merosakkan martabat isteri.
*Menghalau isteri tanpa alasan dan
*Menuduh isteri berzina tanpa saksi.

Keharmonian rumah tangga perlu dijadikan asas pembinaan sebuah keluarga bahagia.
Janganlah mana-mana pasangan sama ada suami atau isteri melakukan tindakan mahupun perbuatan yang boleh dianggap nusyuz antara satu sama lain.

Justeru, marilah kita menyedari (terutamanya golongan lelaki) bahawa kadang kala ketika menuding jari kepada isteri dalam hal-hal penolakan mereka terhadap arahan dan suruhan suami, sebenarnya suamilah pada peringkat permulaannya yang telah gagal, ingkar atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Ini berkemungkinan besar menjurus kepada suami menjadi nusyuz kepada isteri tersebut. Ingat! suami juga boleh nusyuz terhadap isteri.

No comments: