Petikan yang menarik dan ilmiah yang berguna bagiku.....
KUALA LUMPUR: Mendidik anak zaman ini supaya tidak terbabit dengan gejala sosial sememangnya mencabar, namun usaha berganda daripada ibu bapa sekurang-kurangnya boleh dijadikan ‘benteng’ untuk mengelak ia berlaku.
Penceramah bebas, Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, ibu bapa, terutama yang sibuk bekerja, harus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh mencari pendekatan terbaik bagi mendidik anak mereka.
Katanya, ada pelbagai cara boleh digunakan supaya anak sedar dan takut untuk melakukan maksiat.
“Langkah pertama ialah ta’lim iaitu pembelajaran dan seelok-eloknya, ibu bapa yang bekerja menghantar anak mereka kepada guru agama. Kedua pula ialah tarbiah (pendidikan) dan ia harus diberi oleh ibu bapa terhadap anak.
“Ketiga pula ta’did atau hukuman yang memerlukan ibu bapa tidak memandang remeh terhadap kesalahan dilakukan anak.
“Jika kena dengan salahnya, mereka harus dihukum supaya menjadi peringatan untuk tidak mengulanginya lagi, namun hukuman itu perlu setimpal dan jangan sampai mendera,” katanya.
Menurut Hassan, ketiga-tiga pendekatan itu perlu disusuli dengan tazkirah atau atau pembersihan rohani. “Anak perlu diajar membaca al-Quran, berzikir, memberi sedekah dan sebagainya supaya jiwa mereka sentiasa terang, ” katanya.
Sementara itu, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof berkata, dilema membabitkan permasalahan sosial dan maksiat di kalangan remaja berpunca daripada kesilapan masyarakat yang menerima konsep berdua-duaan dan bercinta sebagai satu budaya.
Katanya, budaya ini dianggap kebiasaan, oleh itu ia sekali gus membuka jalan kepada perlakuan seks.
“Mereka (ibu bapa) seolah-olah membuka jalan kepada anak untuk berbuat demikian. Bukan saja membenarkan mereka bercinta, malah tidak kisah jika anak itu mahu berdua-duaan.
“Sikap memanjakan anak sehingga tahap inilah yang sangat merumitkan. Jangan terlalu percayakan dan sayang anak membuta tuli, apabila berlaku perkara tidak diingini nanti menyesal tak sudah,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam menangani masalah sosial wanita.
Menurut Yahya, jika ibu bapa tidak mengendahkan perbuatan anak mereka, ia secara tidak langsung mendedahkan anak terbabit kepada gejala negatif.
p/s...semoga ia menambahkan lagi panduan kita dlm mendidik anak2
No comments:
Post a Comment